KUALA KANGSAR: Lapan rakan masing-masing didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Hutan Simpan Banding tanpa permit pada Mac lepas.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Fahmie Adiran Azmi, 35, Che Mohd Rabillah Che Hassan, 36, Muhammad Rezwan Harun, 41, Azrul Hafizi Abdullah, 41, Mohd Fadzli Abd Latif, 44, Mohamad Shukri Abd Latif, 46, Mohd Anuar Md Jusoh, 50, dan Jamil Chew Abdullah, 55, serta memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua mereka didakwa memasuki Kompartmen 359 Hutan Simpan Banding di dalam daerah Hulu Perak tanpa permit di hutan simpanan kekal yang sah antara 7 hingga 8 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 47(1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Wan Azimah Yaacob dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Perak Phulrani Kaur, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha Amir Yasser.

Ahmad Adha Amir merayu hukuman ringan atas alasan pengakuan bersalah kesemua anak guamnya yang bekerja sendiri telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain bukan melibatkan kesalahan bergraviti berat.

Bagaimanapun, Wan Azimah memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran supaya tidak diulangi tertuduh dan orang awam, selain menegaskan ia merupakan kesalahan serius.

Kesemua tertuduh yang beralamat di Terengganu kemudian membayar denda terbabit.

Mengikut fakta kes, terdapat beberapa siri video tular dalam laman sosial Facebook milik akaun Faiz Panjang mengenai dakwaan kegiatan pengeboman ikan yang dipercayai berlaku di dalam hutan simpan di daerah Gerik susulan penemuan ikan terapung ketika dia memancing di kawasan Sungai Mangga.

Seterusnya, dua video lagi telah dimuat naik dalam akaun Facebook yang sama memaparkan lima kenderaan pacuan empat roda melalui kawasan dipercayai berlakunya kegiatan pengeboman ikan itu.

Menerusi satu daripada video yang dimuat naik, beberapa individu dipercayai daripada kumpulan sama menunjukkan hasil tangkapan ikan yang banyak dengan pelbagai saiz disyaki berada di dalam kawasan hutan simpan.

Hasil semakan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) mendapati beberapa kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan Hutan Simpan itu tanpa permit dan mereka ditahan susulan kesalahan terbabit.